Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan tangguh pembukaan
sesi persekolahan 2015 seluruh negara.
Sekolah
di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor akan yang sepatutnya dibuka pada 4
Januari (Ahad) ditangguh ke 11 Januari (Ahad) manakala negeri lain pada 12 Januari
(Isnin). Berikut adalah kenyataan penuh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri
Pendidikan:
Sepertimana semua pihak sedia maklum bahawa banjir yang
sedang melanda negara sekarang masih berterusan khususnya di negeri-negeri
pantai timur Semenanjung Malaysia. Sehingga pada tarikh 28 Disember 2014,
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati sejumlah 340 buah sekolah
daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir, sama ada dijadikan sebagai
Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau sekolah tersebut ditenggelami air akibat
banjir.
Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil
berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan
sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan bagi tahun
2015 dibuka seperti dijadualkan iaitu pada 4 Januari 2015 (bagi negeri Kedah,
Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 bagi negeri-negeri
lain.
Sehubungan itu,
sukacita dimaklumkan bahawa KPM dengan ini bersetuju untuk menangguhkan
permulaan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu.
Dengan penangguhan ini, tarikh baru sesi bermula persekolahan tahun 2015 bagi
negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015
(Ahad). Manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin).
Penangguhan ini juga dibuat setelah
mengambilkira;
-
a) Sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai
PPS atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan; dan
b)
Keadaan
guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan
perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka.
Sekiranya keadaan banjir tersebut pulih, maka pihak
pengurusan sekolah hendaklah menggunakan tempoh tersebut untuk mengadakan
gotong royong pembersihan kawasan sekolah masing-masing bagi memastikan anak-anak
kita dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna.
Terima kasih.
Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri
Merangkap Menteri Pendidikan
29 Disember 2014
sumber berita : Harian Metro